Skim kongsi hasil sewa

KUALA LUMPUR 10 Julai - Bintang Fairlane Residence bakal menjadi apartmen khidmat pertama menawarkan perkhidmatan dan skim pilihan pengurusan terkumpul yang dilaksanakan oleh Fairlane Hospitality.

Syarikat pengurusan apartmen khidmat, Fairlane Hospitality Sdn. Bhd. (Fairlane Hospitality) merupakan anak syarikat Kumpulan Low Yat, permaju hartanah, pengendali hotel dan runcit, memperkenalkan konsep itu yang berfungsi untuk berkongsi pendapatan sewa yang terkumpul daripada pemilik unit.

Pengarah Eksekutif kumpulan Low Yat, Low Gee Soon berkata, perkhidmatan pengurusan sehenti holistik itu adalah disasarkan kepada para pelabur yang ingin melindungi dan mengoptimumkan pulangan terhadap perlaburan mereka.

"Kami telah mengambil langkah terbaik bagi membantu pelabur memperoleh pulangan sewa konsisten dan peningkatan modal yang lebih baik," katanya selepas melancarkan Fairlane Hospitality, di sini hari ini.

Turut hadir merasmikan majlis itu ialah Datu Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Menurut Gee Soon, setakat ini, sebanyak 52 pemilik apartmen khidmat itu telah mendaftar untuk menyertai program 'perkhidmatan selepas jualan' holistik tersebut.

Beliau menyasarkan sebanyak 200 pemilik daripada jumlah 256 unit apartmen khidmat itu akan menyertai skim itu, dalam tempoh setahun ini.

"Kami yakin mampu mencapai sasaran itu walaupun berdepan persekitaran ekonomi yang tidak menentu dan permasaran turut telah dijalankan sejak sebulan yang lalu," katanya.

Gee Soon menjelaskan, apartmen khidmat yang mengandungi 256 unit telah habis dijual yang mana 60 peratus merupakan pembeli antarabangsa manakala bakinya, tempatan.

X
Loading