Fairlane Hospitality Berminat Tembusi Pasaran China
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Fairlane Hospitality Sdn Bhd, syarikat pengurusan hartanah di bawah kumpulan Low Yat, berminat menembusi pasaran China.
Pengurus Besar kumpulan Daniel Ong berkata pada Jumaat syarikat itu sedang berbincang dengan pemilik-pemilik hartanah di China dan memperkenalkan konsep perkhidmatan pengurusan aset.
Fairlane Hospitality ketika ini menguruskan Bintang Fairlane Residences, yang terdiri daripada pangsapuri perkhidmatan terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Di bawah skim perkongsian keuntungan, Fairlane Hospitality menawarkan pemilik pangsapuri perkhidmatan pendapatan sewa daripada penyewa jangka pendek dan jangka panjang unit yang menyertai skim itu, kata Ong.
"Kami telahpun mendapat 52 pemilik rumah yang menyambar peluang untuk menyertai skim tersebut dan menjangka lebih ramai akan menyertainya," katanya semasa taklimat media selepas pelancaran rasmi Fairlane Hospitality oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.
Ong berkata Bintang Fairlane Residences mempunyai 256 pangsapuri perkhidmatan yang berharga antara RM750,000 dan RM4 juta, semunya telah terjual.
Beliau juga berkata syarikat itu merancang untuk menguruskan satu lagi pembangunan hartanah yang dipanggil myHabitat2, terdiri daripada kediaman perkhidmatan berdekatan Kuala Lumpur City Centre tahun depan.
-- BERNAMA

